Pages

Thursday, May 27, 2010

.:: Kisah Mabuk Cinta ::.

Assalamualaikum.....


Dikisahkan dalam sebuah kitab karangan Imam Al-Ghazali
bahawa pada suatu hari Nabi Isa a.s berjalan di
hadapan seorang pemuda yang sedang menyiram air di
kebun. Bila pemuda yang sedang menyiram air itu
melihat kepada Nabi Isa a.s berada di hadapannya maka
dia pun berkata, "Wahai Nabi Isa a.s, kamu mintalah
dari Tuhanmu agar Dia memberi kepadaku seberat semut
Jarrah cintaku kepada-Nya."

Berkata Nabi Isa a.s, "Wahai saudaraku, kamu tidak
akan terdaya untuk seberat Jarrah itu."

Berkata pemuda itu lagi, "Wahai Isa a.s, kalau aku
tidak terdaya untuk satu Jarrah, maka kamu mintalah
untukku setengah berat Jarrah."

Oleh kerana keinginan pemuda itu untuk mendapatkan
kecintaannya kepada Allah, maka Nabi Isa a.s pun
berdoa, "Ya Tuhanku, berikanlah dia setengah berat
Jarrah cintanya kepada-Mu." Setelah Nabi Isa a.s
berdoa maka beliau pun berlalu dari situ.

Selang beberapa lama Nabi Isa a.s datang lagi ke
tempat pemuda yang memintanya berdoa, tetapi Nabi Isa
a.s tidak dapat berjumpa dengan pemuda itu. Maka Nabi
Isa a.s pun bertanya kepada orang yang lalu-lalang di
tempat tersebut, dan berkata kepada salah seorang yang
berada di situ bahawa pemuda itu telah gila dan kini
berada di atas gunung.

Setelah Nabi Isa a.s mendengar penjelasan orang-orang
itu maka beliau pun berdoa kepada Allah S.W.T, "Wahai
Tuhanku, tunjukkanlah kepadaku tentang pemuda itu."
Selesai sahaja Nabi Isa a.s berdoa maka beliau pun
dapat melihat pemuda itu yang berada di antara
gunung-ganang dan sedang duduk di atas sebuah batu
besar, matanya memandang ke langit.

Nabi Isa a.s pun menghampiri pemuda itu dengan memberi
salam, tetapi pemuda itu tidak menjawab salam Nabi Isa
a.s, lalu Nabi Isa berkata, "Aku ini Isa a.s."Kemudian
Allah S.W.T menurunkan wahyu yang berbunyi, "Wahai
Isa, bagaimana dia dapat mendengar perbicaraan
manusia, sebab dalam hatinya itu terdapat kadar
setengah berat Jarrah cintanya kepada-Ku. Demi
Keagungan dan Keluhuran-Ku, kalau engkau memotongnya
dengan gergaji sekalipun tentu dia tidak
mengetahuinya."


Barangsiapa yang mengakui tiga perkara tetapi tidak
menyucikan diri dari tiga perkara yang lain maka dia
adalah orang yang tertipu.

1. Orang yang mengaku kemanisan berzikir kepada Allah,
tetapi dia mencintai dunia.

2. Orang yang mengaku cinta ikhlas di dalam beramal,
tetapi dia ingin mendapat sanjungan dari manusia.

3. Orang yang mengaku cinta kepada Tuhan yang
menciptakannya, tetapi tidak berani merendahkan
dirinya.


Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Akan datang waktunya
umatku akan mencintai lima dan lupa kepada yang lima :


1. Mereka cinta kepada dunia. Tetapi mereka lupa
kepada akhirat.

2. Mereka cinta kepada harta benda. Tetapi mereka lupa
kepada hisab.

3. Mereka cinta kepada makhluk. Tetapi mereka lupa
kepada Al-Khaliq.

4. Mereka cinta kepada dosa. Tetapi mereka lupa untuk
bertaubat.

5. Mereka cinta kepada gedung-gedung mewah. Tetapi
mereka lupa kepada kubur."

No comments: