Pages

Friday, September 07, 2007

Akhlak buruk di tempat mulia

NABI Muhammad s.a.w pernah bersabda kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ini membuktikan Islam amat menitikberatkan kebersihan.

NABI Muhammad s.a.w pernah bersabda kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ini membuktikan Islam amat menitikberatkan kebersihan.

Tidak hairan sebelum solat, umat Islam diperintah berwuduk bagi membersihkan diri daripada hadas kecil.


Begitu juga dengan pakaian, bau-bauan dan penampilan diri seperti janggut dan misai, semuanya diberi perhatian bagi melambangkan Islam itu agama kebersihan.

Namun, secara praktikal apabila melihat di sekeliling umat Islam, ia tidak melambangkan apa yang diperintahkan dalam agama.

Anda tidak perlu pergi jauh untuk melihat perkara ini. Di masjid yang dianggap rumah Allah pun, kebersihan tidak dijaga.

Bayangkan karpet berdebu, lantai berhabuk dan persekitaran tidak dijaga. Itu belum mengambil kira keadaan tandas di kebanyakan masjid dan surau yang tidak dijaga dan ada kalanya menjijikkan.

Justeru, timbul persoalan. Di mana kebersihan yang dituntut dalam Islam? Adakah ia sekadar gimik atau umat Islam mempersendakan ajaran Islam dan hadis Nabi Muhammad s.a.w?

Penceramah agama, Ahmad Shukri Yusof, berkata hadis Nabi Muhammad s.a.w mengenai kebersihan sebahagian daripada iman memberikan satu gambaran jelas terhadap aspek terbabit.

Menurutnya, keimanan memang dinilai dari aspek kebersihan, sama ada kebersihan dalaman (hati) dan luaran.

“Tetapi, sekarang ini yang berlaku agak menyedihkan, termasuk di kalangan masyarakat kita masih di takuk lama, tidak memelihara kebersihan.

“Orang kita hanya mementingkan diri sendiri, manakala orang lain dibuat tidak kisah. Sebab itu kebersihan di tempat awam terabai dan inilah yang dipanggil akhlak buruk dalam Islam,” katanya.

Beliau menegaskan, berlakunya senario seperti itu disebabkan sesetengah orang Islam memelihara agama pada perkara tertentu saja, seperti solat dan puasa, tetapi yang lain diabaikan, termasuk kebersihan.

“Ramai yang mengambil mudah aspek kebersihan. Kadangkala dari dalam kereta, dilontarkan sampah dan perbuatan itu dilihat si anak.

“Perkara ini sangat memalukan, kerana kebersihan adalah tanggungjawab bersama dan ia perlu dipupuk dari kecil,” katanya.

Aspek kebersihan memberikan gambaran awal terhadap individu dan masyarakat. Sekiranya tahap kebersihan memuaskan, baiklah gambaran orang terhadap individu terbabit secara umumnya.

Begitu juga keadaannya dengan kediaman dan persekitaran. Di masjid lebih-lebih lagi kerana menjadi mercu tanda umat Islam, sekiranya indah dan bersih akan mendapat pujian dan tarikan orang.

Ahmad Shukri yang juga Perunding Motivasi Fitrah Power Resources berkata, kebersihan di tempat awam seperti di masjid adalah tanggungjawab bersama yang perlu sentiasa dijaga.

“Di masjid, masyarakat jangan rasa selesa dan bersikap lepas tangan. Jawatankuasa pula satu hal, sepatutnya tidak kedekut untuk mengeluarkan belanja mengindahkan masjid,” katanya.

Katanya, kebersihan sebenarnya mencerminkan inti pati hati seseorang dan sekiranya satu-satu tempat tidak terjaga kebersihannya, secara tidak langsung ia melambangkan hati budi pihak terbabit.

“Memang kebersihan yang tidak terjaga menyakitkan hati kita. Di stesen minyak, contohnya, ada juga yang kurang memuaskan. Di Baitullah iaitu rumah Allah, kebersihan lebih-lebih lagi perlu dijaga kerana ia tumpuan untuk beribadat.

“Kita selalu memperkatakan mengenai kebersihan, tetapi lain pula yang diamalkan. Sepatutnya apa yang dikata dan didengar tersemat di dalam diri dan diamalkan,” katanya, sambil menegaskan orang yang gagal menjaga kebersihan menandakan kelemahan iman.

“Jika kebersihan masih tidak boleh dijaga, kena mengakulah tidak boleh menjadi Muslim yang baik.

“Ini kerana sebagai Muslim bertanggungjawab mempamerkan imej baik sejajar dengan tuntutan Islam,” katanya.

No comments: