Pages

Friday, July 06, 2007

PLKN Bermasalah?

Pelatih PLKN siri ketiga paling bermasalah

KUALA LUMPUR 5 Julai – Persatuan Pengusaha Kem (PPK) Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menyifatkan para pelatih PLKN siri ketiga paling bermasalah dari segi disiplin dan banyak melakukan vandalisme dalam kem latihan.

Pemangku Presidennya, Datuk Mohd. Noh Rajab berkata, banyak peralatan dan kemudahan kem PLKN rosak setiap kali pelatih terbabit menjalani latihan.

“Banyak katil, pintu dan almari pecah akibat perbuatan vandalisme malah paip air juga dicabut oleh para pelatih tanpa sebarang tujuan.

“Hal ini amat menyedihkan dan pihak kami mendapati masalah tersebut paling banyak berlaku pada latihan siri ketiga berbanding siri yang lain,” katanya.

Serius

Mohd. Noh berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat agung tahunan PPKN kali kedua di Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Bukit Kiara di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Abdul Hadi Awang Kecil. Lebih 40 ahli PPK PLKN hadir pada mesyuarat tersebut.

Mohd. Noh memberitahu, gejala vandalisme itu perlu dipandang serius kerana pengusaha-pengusaha kem PLKN seluruh negara merungut kepada persatuan selepas mengalami kerugian dan terpaksa menggantikan peralatan serta kemudahan kem yang baru.

Katanya, pihak persatuan mendapati kebanyakan pelatih PLKN siri ketiga terdiri daripada golongan pekerja, tidak bersekolah dan ada antaranya tercicir dalam pelajaran.

Selain itu, jelas beliau, latar belakang keluarga dan pengaruh rakan sebaya juga antara punca para pelatih menimbulkan masalah dan melakukan kesalahan vandalisme.

Dalam pada itu, Abdul Hadi memberitahu, setiap kerugian yang dialami pengusaha kem PLKN boleh dituntut daripada JLKN.

Menurutnya, JLKN akan mentaksir nilai kerosakan peralatan dan kemudahan serta memberi sejumlah peruntukan bagi membaik pulih kerosakan tersebut.

Bernilai

“Kerosakan peralatan dan kemudahan di setiap kem berbeza-beza antara satu sama lain dan ada antaranya bernilai ribuan ringgit,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Noh menambah, para pengusaha kem PLKN juga mendakwa mereka dibebani hutang dan mengalami kerugian sepanjang mengusahakan kem itu yang diperkenalkan sejak 2004.

Menurut beliau, pihaknya terpaksa berhutang dan mempunyai pinjaman tertunggak dengan bank-bank tempatan semata-mata bagi menyediakan dan menyelenggarakan peralatan serta kemudahan di setiap kem latihan itu.

‘‘Kami perlu menyiapkan peralatan dan kemudahan kem hanya dalam tempoh tiga bulan untuk para pelatih.

‘‘Kos perbelanjaan bagi membina setiap kem melebihi jumlah pinjaman yang diperuntukkan iaitu antara RM3 juta dan RM5 juta bagi setiap kem latihan,’’ katanya.

Sumber Utusan.
..............

Komentar :

Duit habis....hasil tidak dapat....masalah yang tercapai....tol naik...barang pun naik...alangkah baiknya jika duit itu dilaburkan untuk perkara yang lebih bermanfaat...bagi pada mereka yang susah untuk menuntut ilmu Allah Taala...bantu keluarga yang susah.Semua para sidang pembaca ada akal fikiran yang telah Allah kurniakan...renungkanlah...betul ada kebaikan pada Program PLKN...berapa banyak manfaat yang kita dapat,masyarakat dapat apa?Bandingkanlah dengan masalah yang telah berlaku!!!!

No comments: